"Allah telah menurunkan ayat yang menjelaskan tentang kesucianmu dari atas lapis langit yang ketujuh, tidak ada satu masjid pun yang didalamnya disebutkan nama Allah, kecuali kesucianmu akan dibacakan sepanjang malam dan siang". [Ibnu Abbas]
Aisyah radhiallahu anha, puteri kepada pasangan mulia yang dibina melalui madrasah Rasul, Saidina Abu Bakar radhiallahu anhu dan Ummu Ruman binti Amir bin Uwaymir al-Kinaniyahradiallahu anha. Di rumah yang diliputi dengan kebenaran, kejujuran dan keimanan inilah beliau dilahirkan, tepatnya di Makkah, 7 tahun sebelum hijrah. Beliau turut diberi julukan As-Siddiqah binti As-Siddiq. Dari keluarga sahabat inilah, Allah menempatkan beliau sehingga kemuliaan peribadi dan keutamaan yang ada padanya terus diangkat oleh Allah Subahanahu wa Taala sebagai salah seorang Ummul Mukminin.
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda, “Aku bermimpi melihatmu dua kali atau tiga kali. Malaikat datang membawamu pada sehelai kain sutera, lalu malaikat itu berkata kepadaku, ’Ini adalah isterimu’. Lalu aku membuka kain penutup mukamu dan ternyata engkaulah orangnya”. Aisyah lantas menjawab,” Kalau hal ini dari Allah, Dia pasti akan membenarkannya” [HR Bukhari dan Muslim].
Beliaulah penyeri hidup Rasulullah selepas kewafatan Saidatina Khadijah radiallahu anha. Gaya lincahnya membuatkan Rasulullah sering terhibur. Kehidupan rumah tangga mereka dipenuhi suasana ceria, bahagia dan tenteram. Beliau amat bersungguh-sungguh dalam memupuk kasih sayang dan menarik perhatian Rasulullah. Perkara-perkara yang digemari Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam sangat diutamakannya. Beliau sering mencari-cari kesempatan merapatkan hubungan dengan keluarga baginda. Penampilan dirinya sentiasa dijaga agar kemas, cantik, harum dengan wangi-wangian yang disukai suaminya, Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam.
Namun ada perkara lain yang menyebabkan Saidatina Aisyah begitu istimewa di hati Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sehingga membuatkan isteri-isteri baginda yang lain merasa cemburu melihat layanan istimewa baginda serta orang ramai terhadap Saidatina Aisyah yang pintar itu. Rasulullah lantas berterus terang,
“Janganlah kalian mengguris hatiku kerana Aisyah. Demi Allah, aku tidak pernah menerima wahyu ketika bersama isteri-isteri lain kecuali ketika aku bersama Aisyah.”
Tersentuh perasaan hati para ummahatul mukminin dek mendengarkan penjelasan Rasulullah. Sesalan menyelubungi hati mereka. Jika begitu sekali istimewanya Aisyah di sisi Allah Subhanahu wa Taala, mengapa pula mereka mempertikaikannya. Lantas perkara itu tidak lagi ditimbulkan setelah itu.
Aisyah berkahwin dengan baginda Rasul ketika usianya tujuh tahun iaitu sebelum hijrah ke Madinah. Masih di alam kanak-kanak, lantas dia tetap tinggal bersama keluarganya. Setelah berumur 9 atau 10 tahun barulah beliau tinggal bersama Rasulullah. Maka bermulalah liku-liku kehidupan baru baginya. Kini dia adalah isteri seorang Rasul, isteri seorang pemimpin negara.
Terhimpun di dalam diri Aisyah radiallahu anha ilmu dan pelbagai keutamaan. Keistimewaan yang dimiliki beliau di antaranya seperti berpendirian kuat, kecenderungan meneliti sesuatu perkara, ketangkasan bertindak, kefasihan bertutur, daya ingatan yang kuat, segalanya adalah kurniaan dari Allah. Ini menjadikannya susuk peribadi yang kekal diingati sepanjang sejarah kaum Muslimin, kerana ia sesungguhnya telah meninggalkan jejak yang diberkati di dunia ini.
Berkaitan dengan ketinggian ilmu beliau, tiada siapa pun dari kalangan para sahabat dan tabi’in yang mampu menyangkalnya. Abu Salamah bin Abdurrahman misalnya, mengatakan
“Aku tidak mengetahui seorang pun yang lebih memahami tentang sunnah Rasul dan yang lebih tepat pendapatnya, lebih tahu tentang ayat Al-Quran yang diturunkan, serta lebih mengerti tentang hal-hal yang fardhu; selain Aisyah”
Ibn Abdil Bar turut mengatakan, “Aisyah memiliki pengetahuan yang sangat tinggi di dalam bidang tafsir, hadis, dan fikih; selain di dalam bidang perubatan, syair dan salasilah”.
Urwah bin Zubair juga berkata, “Aku tidak pernah mengetahui seorang pun yang lebih mengerti tentang Al-Quran dan ketentuan-ketentuannya, tentang halal dan haram, tentang syair, tentang pembicaraan dan nasab bangsa Arab, selain Aisyah”
Turut mengakuinya ialah Abu Umar di dalam ucapan beliau, “Pada zamannya tiada seorang pun yang mampu menandingi Aisyah dalam bidang ilmu fikih, ilmu pengetahuan, dan ilmu syair”
Sahabat yang lain, Abu Bard bin Abu Musa mengisahkan dari ayahnya yang pernah berkata, “Kami, para sahabat Rasul, tidaklah menghadapi suatu kesulitan lantas kami tanyakan kepada Aisyah, melainkan kami mendapatkan penyelesaian yang baik darinya”.
Di dalam kisah lain, beliau menyebutkan, “Aku melihat guru-guru para sahabat besar bertanya kepada Aisyah mengenai faraid”
Beliau turut dikenali sebagai seorang perawi hadis yang handal dan tergolong di antara orang yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam selain Saidina Umar Al Khattab, Saidina Ali, Abdullah Ibn Mas’ud, Abdullah Ibn Umar dan Zaid bin Thabit. Beliau juga memiliki kelebihan dalam menukil sunnah nubuwwah yang berupa perbuatan, lalu diajarkan kepada kaum Muslimat lainnya. Beliau meriwayatkan 2210 buah hadis dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, yang kemudiannya dimuatkan dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim (297 buah hadis), yang disepakati oleh keduanya sebanyak 174 buah hadis, dan yang diriwayatkan sendiri oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, masing-masing 54 buah dan 69 buah hadis.
Demikianlah Aisyah, Muslimah yang paling mendalam ilmunya, sehingga sahabat utama seperti Utsman bin Affan sendiri menghantar utusan kepada beliau untuk bertanyakan as-Sunnah. Kenyataan ini tidak dapat disangsikan kerana As-Siddiqah ini lahir dan dibesarkan di rumah As-Siddiq, lalu kemudiannya hidup di rumah nubuwwah, memperkaya peribadi dari sumber nabawi yang murni, malah terlibat langsung dalam asbabun nuzul beberapa kisah di dalam Al-Quran. Cukuplah baginya suatu kelebihan lantaran rumah beliau sebagai tempat turunnya wahyu. Maka, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika beliau layak sebagai Muslimah yang paling mendalam ilmunya, serta keutamaannya tersebar ke seluruh negeri, melebihi sahabat-sahabat lain dalam pelbagai hal yang wajib dan sunnah.
Ummul Mukminin, Aisyah radiallahu anha menjadi teladan dalam hal kezuhudan, kemurahan hati, kedermawanan dan ketabahan beliau. Kezuhudan beliau mencapai darjat yang sangat tinggi kerana beliau sering berpaling dari hal-hal dunia yang melekakan dan menghadapkan diri beliau kepada Allah Subhanahu wa Taala untuk melaksanakan ibadah. Hampir tiada harta yang disisakan di tangannya walau untuk beberapa saat. Harta yang ada padanya segera disalurkan kepada orang-orang miskin. Di antara gambaran kedermawanannya, beliau pernah membahagi-bahagikan seratus ribu dirham hanya dalam satu hari, tanpa meninggalkan satu dirham pun buat dirinya, sementara beliau sendiri berpuasa pada hari tersebut.
Di dalam persoalan ibadah, tiada yang meragukan bahawa Aisyah adalah orang yang paling dekat dengan RasulullahSallallahu Alaihi wa Sallam, sehingga ibadahnya dianggap sebagai gambaran sederhana dari ibadah Rasul. Aisyah banyak mendirikan solat sunat, terutamanya solat tahajjud di malam hari. Beliau tidak pernah berdiam diri ketika ada di kalangan para sahabat yang salah dalam memahami Al-Quran dan As-sunnah atau melanggari hukum syara’. Hal ini diungkapkan oleh Ubaidillah bin Umair, saat Aisyah berkomentar mengenai Abdullah bin Amr ketika memerintahkan kaum wanita untuk membuka sanggul mereka ketika mandi junub, sebagai berkata,
“Alangkah menghairankan Ibn ’Amr ini. Ia memerintahkan para wanita agar membuka sanggul mereka ketika mandi. Mengapa tidak mencukur saja rambut kalian keseluruhannya? Sungguh saya pernah mandi bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan saya tidak lebih hanya menyiramkan kepalaku tiga kali” [HR Muslim]
Beliau juga pernah berhadapan dengan wanita-wanita Himsh sambil berkata,
“Barangkali kalian ini termasuk dari wanita-wanita di permandian umum. Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, ‘Siapapun wanita yang melepaskan pakaiannya di luar rumah suami, bererti dia telah merosakkan tabir hubungannya dengan Allah’ [HR Ahmad, Abu Dawud dan Ibn Majah]
Di ketika lainnya, Aisyah melihat perubahan di dalam aspek pemakaian kaum Muslimah selepas wafatnya RasulullahSallallahu Alaihi wa Sallam, lantas beliau menolaknya seraya berkata,
“Seandainya Rasulullah melihat apa yang dilakukan oleh Muslimah sekarang, nescaya baginda akan melarang kalian pergi ke masjid sebagaimana kaum wanita bani Israel dahulu”
Ketabahan Aisyah dalam menghadapi ujian hidup juga merupakan ikhtibar untuk kita yang tinggal. Beliau pernah difitnah berkhalwat dengan Safwan bin Mu’tal, seorang pejuang Islam, angkara seorang munafik berketurunan Yahudi bernama Abdullah bin Ubay. Betapa pahitnya tohmahan itu dan meskipun suami sendiri tidak memihak kepadanya, namun beliau tidak pernah merasai dirinya bersendirian. Hanya Allah tempat hatinya berpaut kukuh. Baginya Allah tidak akan menzalimi hambaNya melainkan ada hikmah yang terselit di sebalik ujian getir itu. Di kala itu, Aisyah sentiasa bersedih sehingga lemah-lemah tubuhnya. Namun kesedihan itu diadukan hanya kepada Allah. Kata-kata yang terbit dari lisannya,
“Aku akan bersabar, kerana jika aku mengaku aku berbuat itu, aku telah berbohong kepada Allah. Dan jika aku mengatakan tidak, mereka semua tidak mempercayai aku. Aku yakin dengan pembelaan Allah.”
Sesungguhnya Allah amat kasih pada Aisyah yang sabar, lalu Allah sendirilah yang membersihkan nama Aisyah melalui wahyu yang disampaikan kepada Rasulullah.
Aisyah juga merupakan salah seorang wanita Mukminah yang sangat cekal di dalam perjuangannya di medan jihad. Sewaktu Perang Uhud, di saat usia yang masih muda, beliau pernah turut sama mengangkut air di pundaknya sebagai bekalan para mujahidin. Hal ini diakui oleh Anas bin Malik dengan perkataan beliau,
“Aku melihat Aisyah binti Abu Bakar dan Ummu Sulaym, keduanya menyingsingkan hujung pakaiannya lantas keduanya mengangkut bekas air yang besar di pundak mereka lalu memberi minum kepada kaum Muslimin yang terluka. Kemudian keduanya kembali dan memenuhi bekas air tersebut, lalu kembali melakukan hal yang sama” [Muttafaq alaih]
Demikian juga ketika Perang Khandak, Aisyah terjun ke arena jihad dan bergabung bersama para sahabat sehingga beliau maju dan berdiri mendekati barisan hadapan para mujahidin.
Saidatina Aisyah radiallahu anha kembali ke rahmatullah pada hari Isnin malam Selasa, 17 Ramadhan tahun 58 Hijrah. Sebelum wafat, beliau sempat meninggalkan wasiat. Penuh sayu beliau membisikkan,
“Kuburkanlah aku pada waktu malam di Padang Baqi’, jangan di samping Rasulullah kerana aku sangat malu pada baginda.”
Riwayat hidup As-Siddiqah merupakan cermin bagi para Muslimah hari ini, di mana dari perjalanan hidup Mukminah solehah ini, kita dapat mengetahui bagaimana beliau mampu memiliki keperibadian utuh tanpa perlu merendahkan diri. Seterusnya, bagaimana wanita Mukminah ini menjaga kemuliaannya, tetapi tetap penuh ketundukan dan kesederhanaan; memahami dan mendalami agamanya sehingga menjadi sumber rujukan; menterjemah sumberdeennya ke dalam amalan-amalan nyata; memberikan pendapat dan buah fikiran demi menegakkan agama Allah sehinggalah kepada cara kehidupan suami isteri, yang hasilnya beliau dapat membangkitkan semangat suaminya seterusnya berhasil meraih kejayaan.
Wallahu a’lam.
Tuesday, November 2, 2010
Friday, October 29, 2010
Saiditina Khadijah Binti Khuwailid
”Demi Allah! Dia (Khadijah) beriman kepadaku disaat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkanku di saat semua orang mendustakanku. Dan dia membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika semua orang menahan hartanya dariku dan Allah telah mengurniakan beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang lain”. [HR Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar]. Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin 'Abdil 'Uzza bin Qushay Al-Qurasyiyah Al-Asadiyah radhiyallahu'anha. Muslim manakah yang tidak pernah mendengar sebutan namanya?. Siapakah yang menyangka di saat itu, keharuman peribadinya kelak akan merebak di sepanjang sejarah Islam di dada setiap kaum Muslimin? Siapakah yang terfikir bahawa wanita mulia ini akan dikurniakan satu keutamaan yang amat besar yang tidak pernah diperolehi oleh sekalian hamba Allah sejak penciptaan insan? Siapakah yang menduga bahawa wanita cantik jelita ini akan mendampingi manusia yang paling agung dalam rentang awal perjalanan dakwahnya? Siapakah yang mampu meramal ketentuan Allah ini? Maha Suci Allah yang telah menciptakan dan mentakdirkan wanita mulia ini sebagai pendamping Nabi akhir zaman. Beliaulah isteri, sekali gus wanita pertama yang beriman kepada Allah dan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Dianugerahi reputasi yang sungguh mulia, keturunan yang terhormat, peribadi yang luhur, perjalanan hidup yang istimewa, ketajaman daya fikir, semangat yang tinggi dan kalbu yang bening, nama Khadijah begitu harum di dalam sejarah Islam. Sebelumnya, beliau dikenali sebagai seorang wanita yang menjaga kehormatan dirinya sehingga digelar ath-Thahirah (wanita yang suci) . Beliau seorang janda dari suaminya yang terdahulu, Abu Halah bin Zararah bin an-Nabbasy bin 'Ady at-Tamimi, kemudian berkahwin dengan 'Atiq bin 'A`idz bin 'Abdillah bin 'Umar bin Makhzum. Khadijah radhiallahu anha adalah wanita pedagang yang mulia dan banyak harta. Ternyata pekerjaannya itu telah menghantarkan kepada pertemuannya dengan manusia yang paling mulia. Saat dia kembali menjadi janda, seluruh pemuda Quraisy memasang angan-angan agar dapat menyuntingnya. Buah tutur Maisarah membeksa di hatinya tatkala berita kejujuran, amanah dan kebaikan akhlak seorang pemuda Quraisy dikhabarkan kepada beliau. Tersimpan keinginan yang kuat dalam dirinya untuk memperoleh kebaikan itu, hingga diutus seseorang untuk menemui Rasululllah Sallallahu alaihi wa Sallam dan menyampaikan hasratnya. Ditawarkan dirinya untuk dipersunting Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam, seorang pemuda yang saat itu berusia 25 tahun, miskin dan yatim piatu tetapi tersohor kerana luhur peribadinya. Wanita jelita itu memperoleh kembali belahan hatinya dalam usia 40 tahun. Tersurat peristiwa ini dalam sejarah 15 tahun sebelum Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam diangkat sebagai Nabi akhirulzaman. Wanita mulia inilah menjadi perawat duka suaminya di saat penurunan al-Haq melalui perantaraan Jibril alaihi sallam yang menggoncang hati Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. “Aku khuatir akan terjadi sesuatu pada diriku”. Diselimutinya Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sehingga beliau kembali tenang dan hilang rasa ketakutannya. Dengan tenang dan lembut, beliau yang mengalirkan tutur kata penuh hikmah dari lisannya lantas membiaskan ketenangan di dalam dada suaminya, “Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hatimu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana”. Sesungguhnya beliau telah menjalankan peranan politiknya dengan ketajaman dan kepekaan akalnya yang menjadikan beliau mampu untuk mencermati serta memahami dengan jelas masalah wahyu dan risalah yang diterima oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam, ”Terimalah khabar gembira dan teguhkanlah hatimu! Demi Zat yang diriku di tanganNya, sesungguhnya aku berharap engkau menjadi Nabi umat ini”. Perkhabaran dari Waraqah menjadikan beliau mampu memahami peranan yang bakal dipikul oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dengan turunnya wahyu tersebut. ”Khadijah, kalau engkau masih percaya kepadaku, sesungguhnya telah datang ”an-nams al-akbar” kepadanya. Dia adalah Nabi umat ini. Maka katakanlah kepadanya agar dia berteguh hati”. Baginda bukan sahaja seorang suami, atau ayah kepada anak-anaknya, tetapi juga Utusan Allah dalam menyampaikan wahyu dan risalahNya untuk umat yang ada pada ketika itu sehinggalah ke hari kiamat. Di sinilah titik mula kepada sebuah pengorbanan yang tiada surut dan gantinya. Beliau jugalah manusia pertama yang solat di belakang Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersama Saidina Ali radhiallahu anhu. Terus mengalir dukungan dan pertolongan dari beliau dalam menghadapi kaumnya. Beliaulah yang membantu Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dalam mengibarkan bendera Islam, tegar bersama Rasulullah sebagai angkatan pertama. Setiap kali beliau mendengar kata-kata kesat yang dilontarkan kepada suamninya, beliaulah yang setia di sisi baginda dan meringankan beban perasaan yang sangat berat ditanggung oleh kalbu manusia terpilih. Bukan hanya itu sahaja kebaikan Khadijah radhialllahu anha. Beliau mengorbankan setiap harta yang dimiliki kepada suaminya. Bahkan, ketika Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menampakkan rasa senangnya pada Zaid bin Haritsah, seorang hamba miliknya, beliau segera menghibahkan hamba itu kepada suaminya. Zaid diangkat sebagai orang yang sangat dekat di sisi Rasulullah dengan menjadi anak angkat baginda sendiri. Turut tercatat, Zaid memperolehi kemuliaan sebagai salah seorang dari saf pertama yang mengimani dakwah Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Sebagai seorang isteri, beliau merupakan pendorong utama bagi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam untuk selalu giat berdakwah, bersemangat dan tidak kenal menyerah. Beliau juga selalu berusaha meringankan beban berat di bahu Rasulullah. Kebijakan, kesetiaan dan banyak lagi kebaikan Khadijah tidak pernah lepas dari ingatan baginda Rasul. Bahkan sehingga Khadijah meninggal dunia. Beliau benar-benar seorang isteri yang mendapat tempat tersendiri di dalam hati Nabi Allah ini. Betapa kasihnya baginda terhadap Khadijah sebagaimana di buktikan dari penceritaan Saidatina ‘Aisyah radhiallahu anha. “Belum pernah aku cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sebagaimana cemburunya aku kepada Khadijah, padahal aku tidak pernah melihatnya. Tetapi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam selalu menyebut-nyebut namanya, bahkan adakalanya menyembelih kambing dan diberikannya kepada sahabat-sahabat Khadijah. Bahkan pernah aku berkata, “Bukankah Khadijah itu seorang wanita tua? Bukankah Allah sudah memberikan kepadamu pengganti, isteri yang lebih muda dan baik daripadanya?”. Lalu Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menyebut, “Tidak! Demi Allah !Dia Subhanahu wa Ta’ala tidak memberikan seorang pengganti yang lebih baik daripadanya. Dia (Khadijah) telah beriman kepadaku pada saat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkan ajaran yang aku bawa di saat orang-orang mendustakanku. Khadijah membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika orang-orang menahan hartanya dariku dan Allah mengurniakanku beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak diberikan oleh isteri-isteri yang lain” . [HR. Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar]. Ummul Mukminin ini sentiasa berada di samping Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dan memberikan pembelaan terhadap baginda. Beliau juga bergabung bersama Rasulullah dan kaum Muslimin dalam memikul penderitaan lantaran sikap kaumnya yang mendustakan dan melecehkan dakwah baginda. Kesabaran dan keredhaan Khadijah dapat dilihat dengan jelas dalam siri hambatan terhadap dakwah Rasulullah, termasuklah dalam fasa pemboikotan terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib oleh orang-orang Quraisy yang selama ini menjadi pelindung kepada Rasulullah. Wanita Teladan Sepanjang Zaman Ditakdirkan Allah Subhanahu wa Ta’ala, di usia 65 tahun iaitu 3 tahun sebelum Hijrah, Khadijah radhiallahu anha kembali kepadaNya di saat-saat dakwah melalui fasa genting yang bakal menentukan kelangsungannya. Pemergian beliau ditangisi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam, berlaku dalam selang waktu yang singkat selepas meninggalnya Abu Thalib, bapa saudara baginda. Sejak tahun kesedihan tersebut, hambatan-hambatan dakwah yang semakin getir dengan gangguan yang tidak putus-putus mula berani dilakukan oleh kaum kafir Musyrikin di Makkah. Sesungguhnya nama Khadijah tercatat di dalam sirah sebagai wanita pilihan sehingga namanya disebut-sebut di kalangan penduduk langit dan bumi. Kemuliaan itu telah diraihnya sejak masih ada di muka dunia. Tatkala Jibril Alaihi Sallam datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan mengatakan, “Wahai Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Ini dia Khadijah. Dia akan datang membawa bejana berisi makanan atau minuman. Bila ia datang kepadamu, sampaikanlah salam padanya dari Rabbnya dan dariku, dan sampaikan pula khabar gembira tentang rumah buatnya di dalam syurga dari mutiara, yang tak ada keributan di dalamnya, dan tidak pula keletihan”. Khadijah lantas menjawab salam itu dengan katanya: “Allah Maha Penyelamat, daripada-Nya keselamatan dan kepada-Nya pula kembali keselamatan. Semoga keselamatan atas Malaikat Jibril.” [HR. Bukhari dalam Shahih Bukhari, Bab Perkahwinan Nabi SAW dengan Khadijah dan Keutamaannya, 1/539] Wahai Muslimah yang dirahmati Allah! Sesungguhnya istana tersebut adalah jauh lebih baik dari pada gemerlapnya dunia fana yang telah memperdayakanmu. Dan ini adalah sebaik-baik khabar gembira dibandingkan dunia dan segala isinya. Tidakkah kalian ingin mendapatkannya pula? Ya Allah! Betapa mulianya Khadijah binti Khuwailid, As-Sayyidah Ath-Thahirah. Seorang isteri yang setia dan tulus, mukminah mujahidah di jalan deenNya dengan seluruh apa yang dimilikinya dari perbendaharaan dunia. Semoga Allah memberikan balasan yang paling baik kerana jasa-jasanya terhadap Islam dan umat Islam seluruhnya. |
Thursday, October 28, 2010
Saidatina Aminah Bintu Wahb
Saidatina Aminah Bintun Wahb adalah meupakan wanita agung yang telah mengandungkan nutfah yang mulia Saidina Muhammad Saw. Berketurunan Bani Asad Ibn Abd ‘Uzza. Telah dipertemukan Allah jodohnya dengan Abdullah Ibn Abdul Muttallib, pembesar Quraisy. Abdullah Ibn Abdul Mutallib adalah seorang pemuda yang kacak, diceritakan dicelah kedua kening beliau terpancarnya cahaya dengan cahaya nubuwwah sebagai petanda yang beliau bakal menjadi bapa kepada segala penghulu anbiya’.
Abdullah adalah anak yang paling disayangi oleh Abdul Muttallib. Tatkala sumpah ayahnya untuk menyembelih salah seorang anaknya sebagaimana lazim adat jahiliyyah pada ketika itu jatuh keatas Abdullah, lantas diganti dengan seratus ekor unta sebagai menggantikan nyawa Abdullah anak yang paling dikasihi.
Sesungguhnya Allah telah berfiman di dalam surah Ali-Imran yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibahim dan keluarga ‘Imran melebihi segala umat (di masa mereka masing-masing). (Sebagai satu keturunan yang sebahagiannya (keturunan) dari yang lain. Maha Mendengan lagi maha Mengetahui.
(ayat : 33&34 )
Abdullah adalah anak yang paling disayangi oleh Abdul Muttallib. Tatkala sumpah ayahnya untuk menyembelih salah seorang anaknya sebagaimana lazim adat jahiliyyah pada ketika itu jatuh keatas Abdullah, lantas diganti dengan seratus ekor unta sebagai menggantikan nyawa Abdullah anak yang paling dikasihi.
Sesungguhnya Allah telah berfiman di dalam surah Ali-Imran yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibahim dan keluarga ‘Imran melebihi segala umat (di masa mereka masing-masing). (Sebagai satu keturunan yang sebahagiannya (keturunan) dari yang lain. Maha Mendengan lagi maha Mengetahui.
(ayat : 33&34 )
